Friday 26 September 2014

"Kesian dia kudung." " Orang gila, kau pergi jauh-jauh!"

Satu suasana di pasar malam.

" Kau nak makan apa? banyak makanan ni." 
" Tak tahulah. Tengok-tengoklah apa yang sedap" 
" Hmmmm... Wei, tengok abang tu! Muda-muda lagi kaki dah tak ada. Kudung. Kesian aku tengok. Derma sikit pada abang tu."
" Yelah. bagilah semampu kita'" 
" Terima kasih adik berdua" 
"Sama-sama" 
" Senyum abang tu kita tolong dia. Dah kau nak makan apa ni?"
" Ahhhhhhhh, pergi jauh-jauh! jangan datang dekat dengan aku"
" Kau ni buat aku terkejut. tiba-tiba menjerit"
" Orang gila tu tiba-tiba ada sebelah aku. Terkejutlah aku. Sial betul. nasib baik aku tak pukul." 
" Kenapa sampai macam tu. Kau yang lalu sebelah dia. Kau yang tak sedar. Terperanjat sendiri lepas tu marah pak cik tu pula." 
" Biarlah. Dahlah gila. geram aku." 

Cubakan layarkan fikiran, cari apakah PERSAMAAN antara Pak Cik gila dan Abang kudung? Apakah PERBEZAAN antara Pak Cik gila dan Abang kudung? Yang boleh menyebabkan layanan dan keprihatinan yang diberi oleh orang sekeliling berbeza-beza. Kenapa?

Berbalik semula kepada kes Abang kudung dan Pak Cik gila, mereka berdua ternyata adalah Orang Kurang Upaya(OKU). Abang kudung adalah OKU dari segi fizikal dan Pak Cik kudung adalah OKU dari segi mental. Dalam separa sedar, masyarakat telah melabelkan individu yang cacat dari segi fizikal sebagai OKU dan  individu yang mempunyai gangguan mental sebagai GILA sedangkan mereka berdua adalah sama-sama OKU. Adilkah perlabelan ini?

" Panggilan je pun. Bukan apa-apa. Tak mati pun orang gila tu pun aku panggil dia GILA."

Hanya kematian sahajakah impak buruk dalam kehidupan ini? Dihinaan, kebuluran dan hidup di jalanan bukan sesuatu yang menyedihkan?

Sepastinya perkara yang remeh seperti panggilan atau perlabelan ini membawa impak kepada golongan yang di tuju. Label "gila" yang di beri oleh masyarakat kepada OKU mental telah menjadi titik pembina satu persepsi bahawa OKU mental adalah mereka yang berbahaya, jangan cuba didekati dan mempunyai masa silam yang berlunmur dosa. Gila adalah balasan kepada semua dosa-dosanya. Persepsi ini mendorong pada kelakuan masyarakat yang menjauhi OKU mental dan ada juga yang menghina mereka tanpa sebarang sebab yang kukuh. Hanya dengan alasan orang gila jahat sebab boleh bahayakan orang sekeliling. Tidak dinafikan antara simptom masalah mental adalah kecenderungan mencederakan diri sendiri dan juga orang sekeliling. Namun bukan setiap saat warga OKU akan mencederakan dirinya dan orang sekeliling. Episod begini ini acap kali berlaku hanya ketika tahap kemuncak simptom dan akan semakin berkurang.

Bukan mengharapkan masyarakat sekeliling berkawan rapat dengan OKU mental, biarlah rawatan dan intervensi bagi OKU mental ini diberi oleh mereka yang professional kerana ini lebih efektif dan selamat. Masyarakat hanya diharapkan menunjukkan rasa hormat dan jika logiknya memghulurkan empati, simpati dan keprihatian seperti mana yang diberikan kepada OKU fizikal kerana mereka juga OKU dan bukan orang 'gila' semata-mata. Tidak adil untuk membandingkan keperitan siapa yang lebih antara OKU fizikal dan mental kerana tahap kesukaran adalah sangat bersifat individu. Tetapi tidak salah untuk menyatakan masalah gangguan mental adalah sesuatu yang menyedihkan dan mengecewakan untuk OKU sendiri dan juga famili mereka. Mereka bukan hilang kemampuan untuk mengawal pemikiran mereka sendiri tetapi juga bagaikan menjadi seorang individu yang lain.

" Mak cik Zainab kerja dirumah sejak kami pindah 3 tahun lepas. Dia yang jaga minum, makan kami sekeluarga selepas kematian ibu. Makcik Zainab adalah seperti ibu angkat aku. Dialah yang sentiasa ada saat aku sedih, gembira dan sakit. Walaupun ayah dan adik-adik tidak menghiraukan mak cik Zainab tapi dia masih setia bersama kami sekeluarga sebab ingin teman aku." 

"  Lisa, Mak Cik Zainab adalah satu individu yang hanya wujud dalam fikiran kamu. Otak kamu telah mencipta satu individu untuk mengisi kesunyian yang kamu selepas pemergian ibu kamu. Dalam dunia realiti ni, Mak Cik Zainab tak wujud. Segalanya hanya dalam fikiran awak. "

" Tak benar. Mak Cik Zainab wujud. Dia ada bersama saya, sentiasa. Sentiasa"

Seperti sebuah peperangan antara halusianasi dan realiti, dan akhirnya halusinasi yang menang. Begitulah antara simptom yang OKU mental hadapi. Situasi yang sangat sukar untuk mereka hadapi apabila individu yang selama ini bersama mereka yang sangat nyata bagi mereka dikatakan oleh orang lain sebagai hanya satu halusinasi. Sudah pastinya sukar untuk percaya kenyataan kerana memmbenarkan kenyataan bermaksud menafikan kepercayaan pada diri sendiri dan meletakkan kepercayaan pada mereka yang selama ini tidak dikenali seperti ahli psikologi atau psikiatrik. Sedangkan padanya halusinasinya itulah yang paling rapat dan disayangi oleh dirinya. Mempercayai realiti bagaikan membunuh orang yang disayangi dengan tangannya sendiri. Sungguh berat pergolakan emosi yang perlu dialami. Disinilah keperluan OKU mental untuk mendapat sokongan dari famili dan masyarakat sekitar supaya OKU mental dapat melepaskan halusinasinya kerana mengetahui insan-insan disekelilingnya ada untuk bersamanya dalam kehidupan ini dan bukan halusinasi tersebut.

Setiap insan mempunyai kemungkinan untuk mendapat gangguan mental. Bagaikan suis lampu, jika terpetik ia akan menyala. Semudah itulah untuk seoramg individu mendapat gangguan mental kerana kita semua sebenarnya hidup dengan simptom ringan gangguan mental. Perbezaannya hanya simptom tersebut tidak lagi sampai tahap yang menganggu hidup harian, emosi dan keselamatan kita.Tidak perlulah kita melayan OKU mental seolah-olah kita ini kebal daripada mendapat gangguan mental. Sekurang-kurangnya sebagai masyarakat, kita boleh menunjukkan hormat dan kemanusiaan pada OKU mental. Beri senyuman pada mereka. Ucapan sejahtera pada mereka. Bagi yang bekerja sebagai majikan, cuba buka peluang untuk mereka bekerja dibawah pengawasan pasukan kesihatan. Paling mudah, banyakkan pembacaan tentang masalah gangguan mental supaya kita lebih memahami dan dapat lebih membantu.

Walaupun sesuatu kesukaran atau kekurangan itu  tidak mampu dilihat dek mata kasar namun tidak semestinya ia tidak wujud. Tidak berjasad tidak memberi indikasi tidak wujud. Kepercayaan terhadap kewujudan unsur yang tidak berjasad memerlukan mata hati. Lumrah manusia zaman sekarang, lebih percaya pada sesuatu yang berjasad, yang boleh dilihat mata kasar dan dipegang dengan tangan. Sering mempertikaikan sesuatu yang ghaib dan yang  hanya bersandarkan teori. Mungkin ini juga punca insan sekarang lebih mengagungkan perasaan cintanya pada makluk lain yang berjasad daripada Allah yang Maha berkuasa. Kerana kepercayaan yang kuat pada yang perkara ghaib memerlukan iman dan aqidah yang lurus pada jalanNya.