Friday 17 October 2014

Wahai Penghibur



Wahai penghibur ,
Umpama awan berderai menjadi hujan tak beratap
Bagaikan mentari menyinar tiada dinding sempadan,
Bak tiupan angin yang tiada pohon penghalang,
Itulah resam alam yang gah dengan kemurahan,
Oleh penciptaNya yang Maha Pemurah
Maka jangan dilupakan kau jua ciptaanNya,
Yang dihadiahi dengan hati mulia,  
Tiada setitis air kering biarpun dikau hampar selautan kasih buat insan
Tiada setitik gelap biarpun dikau nyalakan unggun harapan buat yang tersayang
Tiada sesaat pun nafasmu sesak biarpun dikau layangkan sejuta senyuman,
Kerana hatimu umpama taman wadah mekarnya bungaan berbau ikhlas dan semangat 

Wahai Penghibur,
Andaikata,
Langitmu ketandusan gumpalan awan kasih,
Mentarimu gelincir membawa malap harapan ,
Udara bertiup angin kepiluan,
Kau,
Harus berlari menuju ke gerbang pelangi,
Kerana yang pasti ia tiada paksi di muka bumi,
Untuk engkau tembusi dan berhenti,
Namun saat kau terus mendongak dan melangkah ke destinasi ,
Kau sudah pasti sentiasa ditemani rencah ceria pelangi ciptaan Illahi,
Walaupun kakimu memijak tanah dan duri,
Kerana kau akan mula mengerti,
Dunia ini adalah kembar pelangi,
Berwarna-warni dan sementara pasti,
Penghujung hanyalah bertemu Illahi.  



Potongan sajak dari novel " Mata Hati"