Monday 31 March 2014

Aku Yang Buat Dia Jadi Macam tu? Mungkin ke?

Mungkin cerita ini bukan kisah benar tapi jalan cerita ini cukup logik dan menyentuh hati untuk membuat insan berfikir semula tentang kelakuan dan layanan yang kita berikan kepada orang sekeliling kita sebenarnya mampu membolak-balikkan hati insan tersebut malah mampu mengubah jalan cerita insan itu jua. Walaupun segala yang berlaku bukan terletak dalam paksi kawalan kita seratus peratus sebagai manusia, namun Allah memberi peratusan terrtentu untuk kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan juga perasaan untuk membuat keputusan dalam kehidupan ini. Allah juga kurniakan kita hidup dalam kelompok dan juga kemasyarakatan kerana kita di fitrahkan untuk saling membantu dan bersama dan dijadikan pula ujian dalam hubungan berkelompok ini. Tingginya nilah sebuah persaudaraan antara insan adalah apabila insan tersebut mendahulukan saudaranya sebelum dirinya sendiri. Bertapa tingginya harga sebuah persaudaraan.


Ali seorang banduan yang bebas selepas tamat hukuman atas jenayah yang telah dilakukan. Farah, adik kepada Ali, seorang yang mewah dan berpangkat selepas mengahwini seorang hartawan. Selepas dilepaskan, Ali masih terlibat dengan perkara yang tidak bermoral seperti berjudi, memukul orang dan juga mengugut adiknya sendiri. Farah cukup rimas dan rasa tidak selamat dengan ugutan abangnya kerana dia sememangnya mempunyai masa lampau yang hitam dan kotor. Sehingga satu masa, Farah berfikir untuk menggunakan abangnya untuk melakukan satu pembunuhan. Farah ingin mengupah abangnya untuk membunuh seorang kenalan mereka sejak kecil yang mengetahui semua kisah hitam Farah. Farah menawarkan sebuah rumah banglo kepada abangnya sebagai ganjaran. Ali tanpa ragu-ragu menerima tawaran tersebut kerana harta dan wang ringgit menjadi tujuan utama dirinya. 

Bermulalah perlaksanaan perancangan Ali untuk membunuh kenalan lamanya itu, Zaid. Zaid sememangnya kenalan lama Ali yang sering dia jumpa selepas keluar daripada penjara untuk meminta wang. Walaupun Zaid tidak sering membantu dengan memberi wang, namun Zaid sering menasihati dan memberi tempat persinggahan untuk berteduh dikala Ali cedera selepas bergaduh. Zaid juga seorang yang mengotakan janji dan kepercayaan pada Ali walaupun dia seorang banduan kerana Zaid cukup kenal ragam Ali. Meskipun hubungan Ali dan Zaid tidak sebegitu baik disebabkan persengketaan dan konflik sejak kecil, namun Zaid meletakkan batas kebenciaan kepada Ali pada sempadan yang sewajarnya.

Hampir setiap minggu Ali datang ke rumah Zaid untuk melaksanakan rancangan pembunuhannya. Namun kedatangannya disambut mesra oleh adik Zaid, Mira yang menyediakan makanan yang sedap dan meriah. Mira juga kenalan lama Ali sejak kecil. Walaupun Mira tahu hubungan abangnya dan Ali agak tegang, Mira tetap melayan Ali dengan baik kerana sikap empatinya terhadap jalan hidup Ali yang sejak kecil lagi hidup dalam keperitan miskin dan konflik keluarga. Ali cukup gembira menjamah makanan tersebut dan pada masa yang sama Ali cuba mencari jalan untuk membunuh Zaid tetapi masih belum berjaya. Seminggu kemudian Ali datang lagi  ke rumah Zaid, yang lebih mengejutkan Mira telah menyediakan sebiji kek untuk Ali bersempena hari jadinya pada hari tersebut. Ali cukup terharu dan terdetik dalm hatinya perasaan tenang dan dihargai. Peluang untuk membunuh Zaid pada hari tersebut dilepaskan buat selamanya-selamanya.

Dia berjumpa kembali berjumpa dengan Farah dan menyatakan dia telah membatalkan niatnya untuk membunuh Zaid. Atas alasan dia dapat merasakan adik beradik tersebut, Ali dan Mira adalah hanya dua insan di dunia ini yang melayan dirinya sebagai manusia. Ali tertanya bagaimana dia mampu membunuh abang kepada insan yang cukup ikhlas menyediakan makanan untuk dirinya dikala dia datang ke rumah dengan niat  membunuh. Hati Ali juga terdetik dia tidak mungkin dapat membunuh seorang insan yang tetap memberi perlindungan dan bantuan kepadanya di waktu kesusahan walaupun hubungan mereka tegang. Ali sanggup menggadaikan tawaran bernilai jutaan ringgit hanya kerana secebis penghargaan dan kemanusiaan yang diberi insan lain kepada dirinya. Adalah perasaan yang tidak pernah dirinya peroleh dan dirasai lebih bernilai dari wang ringgit dan harta.

 Dalam benak hati Ali muncul perasaan sayu dan dia dapat merasakan jika dari dulu insan disekeliling dia melayan dirinya sebagai seorang yang ada nilai untuk dihargai dan dihormati sebagai seorang manusia seperti yang dilakukan 2 beradik tersebut dia mungkin tidak terjunam dalm dunia yang penuh dosa dan duri ini. Teringat kembali saat dia masih remaja selepas dirinya dilepaskan daripada pusat tahanan juvana, Ali sangat rindu satu-satunya adiknya, Farah. Oleh itu, Ali menapak ke sekolah Farah untuk berjumpa adiknya. Setibanya di sana, kelihatan Farah bersama rakan-rakannya keluar dari pagar sekolah sambil memegang aiskrim. Dengan perasaan gembira, Ali menerjah adiknya sambil meminta sedikit aiskrim tersebut. Namun kehadiran Ali itu disambut dingain oleh Farah, malah aiskrim tersebut dibuang ke tanah dan di suruh abangnya makan  aiskrim tersebut jika mahu sangat. Walaupun peristiwa itu telah lama berlalu dan hanya beberapa detik saat sahaja tetapi inilah peristiwa terukir parut dalam ingatan dan hati Ali dan salah satu pemangkin kepada kejahatan Ali yang berpanjangan sehingga zaman dewasanya. Meskipun dengan niat yang baik, Ali tetap dianggap jahat dan hina oleh adiknya yang telah membantutkan segala putik-putik keinsafan dan kebaikan dalam dirinya malah segalanya telah digantikan dengan kekecewaan dan kemarahan yang menjerumuskan dirinya dalam dunia tidak bermoral.

Hanya hati yang tulus ikhlas dapat menyentuh hati insan lain. Maka macamana pun ekspresi perasaan kita terhadap orang di sekeliling kita, nilai kemanusiaan dan kehormatan perlu dipatri bersama agar persaudaraan tidak tergugat. Setiap manusia dimuka bumi ini Allah ciptakan mempunyai medan tersendiri untuk di beri dan mendapat kehormatan sebagai makhluk yang berakal dan berperasaan. Allah cukup pemurah memberi peluang untuk hambanya bertaubat jadi kita sebagai manusia yang setaraf semestinya perlu memberi ruang untuk insan di sekeliling kita berubah.




No comments:

Post a Comment